15/06/2017

ز, serta sepasang telinga

1.

Bello

Kau adalah bunyi burung yang menyapa sebuah taman di waktu pagi.  Kau adalah suara sepasang tangan kekasih yang berpimpinan.  Kau adalah getar kegembiraan atas penglihatan pertama dari pesakit yang kesembuhan buta.  Senyumanmu adalah suatu keputusan yang muktamad. Kau adalah kasih sayang yang bergema setelah aku kautitip masuk ke dalam rumah hatimu.  Kau adalah hujan keindahan yang lebat.  T’lah menjadi Tabut dadaku sebab terkumpulnya begitu banyak khazanah kecantikkanmu.

Aku merasakan bahawa aku adalah lelaki yang paling kaya di mukabumi.


2.

Occhi

Lihatlah pergerakan tanganmu, lekukan bibirmu setiap kali kita melihat satu sama lain.  Kau suka melihat mataku  – aku cinta pada keterpesonaan kau pada mataku.  Tahukah kau betapa mata ini ingin menciptakan kebahagiaan yang maha besar untukmu?  Mengertikah kau betapa mata ini ingin melihat kita sama-sama dewasa dan menukang pelangi terindah setelah hari-hari hujan yang kita lalui?

3.

Orecchie

Kau menyanyikanku lagu dari bunyi-bunyi sungai.  Setiap kali setelah petir, kau menuliskanku melodi-melodi yang baru.  

4.

Senso

Kelak pasti aku akan menjadi tua dan mataku berubah buta.  Tapi dari suaramu kau memberi petanda bahawa pendengaranku akan abadi selama-lamanya.