1.
Bello
Kau adalah bunyi burung yang menyapa sebuah taman di waktu pagi. Kau adalah suara sepasang tangan kekasih yang berpimpinan. Kau adalah getar kegembiraan atas penglihatan pertama dari pesakit yang kesembuhan buta. Senyumanmu adalah suatu keputusan yang muktamad. Kau adalah kasih sayang yang bergema setelah aku kautitip masuk ke dalam rumah hatimu. Kau adalah hujan keindahan yang lebat. T’lah menjadi Tabut dadaku sebab terkumpulnya begitu banyak khazanah kecantikkanmu.
Aku merasakan bahawa aku adalah lelaki yang paling kaya di mukabumi.
2.
Occhi
Lihatlah pergerakan tanganmu, lekukan bibirmu setiap kali kita melihat satu sama lain. Kau suka melihat mataku – aku cinta pada keterpesonaan kau pada mataku. Tahukah kau betapa mata ini ingin menciptakan kebahagiaan yang maha besar untukmu? Mengertikah kau betapa mata ini ingin melihat kita sama-sama dewasa dan menukang pelangi terindah setelah hari-hari hujan yang kita lalui?
3.
Orecchie
Kau menyanyikanku lagu dari bunyi-bunyi sungai. Setiap kali setelah petir, kau menuliskanku melodi-melodi yang baru.
4.
Senso
Kelak pasti aku akan menjadi tua dan mataku berubah buta. Tapi dari suaramu kau memberi petanda bahawa pendengaranku akan abadi selama-lamanya.
2 comments:
Sin, atau jiwa yang melebur
i.
Sakar
Aku semut mabuk yang hanyut dalam segara kemanisanmu. Dalam khayal, tak mampu kuhitung aksara yang dapat mengeja makna cinta. Alangkah indah jika aku menjadi bulbul yang menikam dada dengan duri mawar biru. Dan kau menjelma menjadi titis madu menyembuhkan serak suaraku.
ii.
Bahar
Kau manusia yang terjerat dalam tipu muslihat samudera rindu. Ombak asmara hanyalah timbunan sengsara yang menjemput maut sebelum berulangnya samsara. Memandang kaki langit berulang kali kuingatkan kau tentang kita. Garis temu yang terpisah membakar gumpalan pokok hujan menjadi awan lembayung merah menyala. Kau terlempar ke langit menjadi bintang petunjuk, sedang aku terbakar hangus ditelan lahar gunung terpuruk.
iii.
Dahar
Masa lalu tak menyediakan mata rantai untuk mengikatmu kepadaku.
iv.
Asrar
Ada rahsia yang menyimpan segala rahsia siap terbuka untuk dibaca. Dan kita dengan sengaja membiarkan racun pesona membutakan mata di sepanjang hayat sia-sia.
just the nice article
Post a Comment