27/10/2015

Badi Abadi

I
                KEABADIAN
                KEABADIAN
                KEABADIAN
                KEABADIAN

II
                KEABADIAN
                KEABADIAN
                KEABADIAN
                KEABADIAN

III
                KEABADIAN
                KEABADIAN
                KEABADIAN
                KEABADI

KaAN

25/10/2015

Ketika Alam Memanggil Kenangan

Lambaian daun itu seolah-olah memanggilku;
apabila ditiup angin
pada petang yang cukup tenang
dan pelangi yang sudah mula jemu memandang.

Dedaunan kering gugur menyembah bumi;
menghempas tanah usang
pada hamparan sejarah lalu
di situ kita pernah bertemu.

Dahulu,
sewaktu petang yang masih riuh dengan becok nuri,
sewaktu pelangi yang masih teguh berdiri,
sewaktu dedaunan itu masih segar memayungi
dan kita juga yang masih melebarkan senyuman berseri.

Itu dahulu,
segalanya yang mungkin sudah berubah,
segala kasih yang ditadah
sudah tergadah.

Aku cuma mampu kenangkan
tentang seorang perempuan
dan kenangan-kenangan kita yang masih bertemankan.

Aku Menulis Namamu Dan Tuhan, Seterusnya...

Bukankah tuhan telah memberi kau pilihan
semenjak kaumenangis melihat ibu;
Lalu kaumemilih untuk terus hidup
dengan lekuk di sebelah tengkorakmu
     ;Kaumerangkak

Bukankah ibu telah memberi kau pilihan
semenjak kaumenangis melihat kekasih;
Lalu kaumemilih untuk terus hidup
dengan parut di seluruh hatimu
     ;Kauberjalan

Bukankah kekasih telah memberi kau pilihan
semenjak kaumenangis melihat temanmu dilarikan tuhan;
Lalu kaumemilih untuk mati
dalam setiap nafas-nafas harapan
     ;Kauberlari
      mengejar anak-anak nabi
      dalam setiap zikir-zikir tuhan.

21/10/2015

Kota Kelip-kelip



Kota kelip-kelip gemerlapan di lewat
dua
pasang-pasang kaki seret tuju cahaya
berdua
"Ruh lama berkati tanah ini!", bisik gempa.
Ruh-ruh lama hakikatnya, sepasang.
Kota itu bertuan,
hanya gilir penunggu.

Warisan baru berkerabat nyawa,
memakai selimpang dosa, merejam langit meludah setia.
Kota kelip-kelip makin malap.
Dua ruh sudah lama diangkat,
penunggu sudah reput tongkat.
Seretan kaki semalam, bertangguh-tangguh.

Singgahsana dunia,
lampu ayan dan kuap lentok para ratib menunggu matahari
esok, dan seterusnya…
Kota kelip-kelip ghaib tika dini tiba.

17/10/2015

Samad

Eh Samad
Cakap kau banyak dusta,
Tak terhitung dah aku rasa
Tangan kau banyak cela,
Tak ada satu pun yang aku boleh kata cara.
Jalan kau semua tak kena,
Terus-terusan menapak ke neraka dunia.

Eh Samad
Berhenti guna telinga
Sebab omelan mereka;
Tak ubah macam angsa.
Buatlah apa saja Samad,
Mereka lebih celaka
Peduli jadi berbeza.

Eh Samad
Sekali-sekala cakap dengan Tuan kita,
Kau juga mahu syurga.

-Feb 28

Aminah

15/10/2015

Pekat Malam

Suara garau kedengaran menemani rembesan malam. Sedang sibuk aku bertikam makan hati. Samar kelabu jadi igauan. Punya matahari malap raut malam. Punya bintang capai berkali angkuh meninggi berlari sudah. Masih menongkah patut aku jahit parut semalam atau kabus biar membusuk. Masih berkira bintang dilangit mahu aku tutup jendela atau biar dingin gelap menjamah badanku. Sungguh aku benci dengusan sesal hari hari. Sudah sudahnya neon terang aku tutup. Kertas ronyok makanan tong biru. Tarik selimut cipta mimpi moga esok ketemu cahaya hilang.

RynAsri

11/10/2015

Catatan dari balik awan




Dari balik kaca bujur aku termenung merentas awanan. Kepergianku untuk kali terakhir ini, seiring berakhirnya kita. Tangisku kering, hatiku mati. Barangkali hidupku terusan begini tanpa kamu. Langit cerah bertukar tona senja, dan malam mulai menjelma. Langit berubah, hari berganti dan kamu, memilih untuk pergi. Bulan malam itu bertentang mata denganku, barangkali cuba menenangkan, atau seperti hari-hari yang lain cuma menjadi teman. Bintang malam itu hilang kerdipnya, barangkali malu, atau sendu meraikan aku. Dan dari beribu kaki tinggi ini aku renung laut biru. Perlahan-lahan, cebisan hati kamu aku jatuhkan, mengharap ia mampu tiba ke dasar. Seperti tahun-tahun hubungan kita, jarak kita sengaja aku panjangkan, bicara kita sengaja aku diamkan, pintu hati sengaja aku tutupkan. Jangan-jangan, itu yang aku perlu, untuk tidak lagi hidup denganmu. Langit masih gelap saat aku menutup mataku melupakan kamu, dan barangkali terusan gelap saat terjagaku.


05/10/2015

ilham dari tuhan

seperti sebelumnya,
aku masih menanti ilham dari tuhan,
tentang bahagia yang tertangguh-tangguh,
dan doa yang tak terangkat-angkat,

apakah di antarnya,
ada dosa yang tak terampun-ampun,

tuhan,
izinkan aku kembali ke rahim ibu,
menjadi suci seperti pertama kalinya,
ketika aku menagisi kelahiranku sendiri.