29/09/2013

| Review | Perempuan Yang Patah Hati




Penulis: Rasyidah Othman

Penerbit: Jargon books
genre: Puisi

" Kerana aku ini hanyalah separuh dari perempuan-perempuan yang deritanya menggulung ke syurga, dan berpura-pura menjadi utuh "


Walauketikamanapun puisi-puisi dalam buku ini dibaca, kita bisa terjerat dalam perangkap emosi yang disediakan, mahu atau tidak. Kita akan akur, penulis ini telah berjaya. Berjaya membenamkan perasaan pembaca dalam lipatan-lipatan bahasanya. Meskipun kadang-kadang tulisannya membingungkan. Citra yang digunakan ada yang tidak mampu dibayangkan, kita sengaja tidak pedulikan kerana ketika itu kita telah lemas dalam sungai emosi yang deras, yang dalam, yang kita tahu pengakhirannya, kekecewaan.

Perempuan yang patah hati, menampilkan sesuatu. Sesuatu yang dekat dengan diri kita. hal-hal tentang Tuhan, Cinta, Kesedihan dan kesepian yang kebanyakan orang lalui. Setiap aksaranya diatur dan dijalin rapi dengan rontaan perasaannya yang jelas tetapi diselubungi misteri ceritanya.

Selepas helaian terakhir habis dibaca mungkin para pembaca akan tertanya-tanya, Siapakah gerangan penulis ini? bagaimanakah kehidupan hari-harianya sebenarnya? apakah yang telah dia lalui sehingga kekecewaan begitu sebati dalam aksaranya? dan hal lain-lain lagi. Ketika itu, baru kita sedar, Rasyidah Othman telah dipuja.


rating: 3/5

25/09/2013

Perjalanan Rindu

Malam ini,
Perjalanan rindu tercicir di pertengahan,

Di hujung subuhnya,
Ku temui kebencian yang terdalam,

Dan sajak ini,
Terus,
Terusan menjadi hamba pada hati mati,

Bertari tanpa makna,
Tanpa jiwa,

Sampai nanti,
Kebencian itu menemui kuburnya sendiri,

24/09/2013

i.
rama-rama pernah dulu bermain di matamu
sebelum senja pernah mengenal erti jingga




ii.
aku pernah ingin pergi seperti angin
sebelum awanmu menjemputku


dan kita sama-sama jatuh menjadi hujan




iii.
sang penyair akan selalu menulis
nama kekasihnya laju-laju


"tiada kekhuatiran tentang ejaan" sebutnya
"kerana pena ku sudah lama mengenal namanya"




iv.
ciummu adalah wangian vertiver
bahkan ia mencintai hidungku


setelah ia mengairi bibirku

23/09/2013

Bicara hamba

Tuhan aku ini
tersungkur jatuh
sendiri.

Tuhan aku ini
sudah ditelan 
realiti

Tuhan aku ini
dayus melupa
kamu

Tuhan jika ini
cara kau
kuatkan

berikanlah segala kekuatan
yang selayak
aku

kerana sosok aku
sudah hancur
dibelantan

kerana ruh aku
sudah ditosok
pedih

kerana aku sudah
terjelepuk menyembah
bumi

kerana Tuhan, aku
sudah hampir
mati

kali ini sekali
lagi, sampai
nanti

21/09/2013

Come on, peratap sunyi. Cintai aku.

Kamu; merasok segenap atmosfera-- sama kalimah dan sabda tentang cinta cinta yang tidak seharusnya membuat kita ini, bertegun lama..

Dan kita tidak seharusnya saling terbiasa dan kemudian jatuh ke lembah suka hingga menyesakragut mana mana jiwa..

Ini karna, diantara nyaring lekingan kamu itu; aku cuma membayangkan-- keangkuhanmu; sebagai petualangku, dan gegas tingkahmu sebagai rinduku..

Wahai peratap sunyi, sambunglah helaan nafasku ini..
Mungkin kamu adalah keredhaan dari Tuhan-ku..

Wahai peratap sunyi, cumbulah aku bertalu, lingkarkan jarimu pada pundakku..
Malam ini, berteriakanlah dua nyawa, menyusuri gemintang yang menarik narik raksa..

Wahai peratap sunyi, usaplah rambutku, dan basahkanlah bibirku dengan bait manis ciptaan kamu.

Wahai peratap sunyi, mari. 

Cintai aku.

17/09/2013

Hanya Di Pinggiran

setiap kali namamu
berkumandang di mulutku
lidahku mengulum rasa kehilangan
aku meratapi kematian mimpi
di setiap pagi
doaku terbeban
dengan sekecil rasa ingin
tanganku mencari tapi
tak menemukan apa-apa
dan hari sekadar berjalan
mematuhi aturan.

aku menulis tentang kenangan
yang tak menemukan rumah
selain di kepalaku sendiri
dan orang-orang yang telah pergi
tapi tetap abadi di dalam hati
aku ingin bebas berlari
tapi sekadar berpusing
dalam lingakaran keinginanku sendiri
untuk wujud dalam keabadianmu
ketika sebetulnya
aku cuma wujud dalam kelupaanmu.

11/09/2013

Rindu adalah embun yang lebih larut dari malam, katamu.

Hujan turun begitu renyai mengisi mangkuk anganku.  Petang pun muncul malu dengan matari yang tak datang menjemputnya.  Ah, ada banyak meja yang menempati kopi, dan kerusi-kerusi yang sekadar diisi laki-laki dan perempuan yang banyak bercerita perihal mimpi. Aku melihat tanah yang kelabu itu, segan disentuh peluk hujan yang ikhlas.  Bunga anggerik yang ditanam pekebun kelmarin mula melahirkan tuntas. Tidak lupa beberapa ekor burung yang singgah di langitku bercerita tentang awan yang pernah dipegang Sulaiman.

Di tingkapku, aku melihat banyak kejadian yang indah namun sering merasa kehilangan. keriuk almari dimakan anai-anai mengejutkanku bahawa tiap yang indah pasti diburu kebutuhan. Sering saja tanggapan bahawa kecantikan tak kekal malah lebih pendek dari umur bersila di langit-langit kepalaku.

Melihat kanak-kanak yang girang membuat aku ingin bertanya ; apakah keperluan yang perlu ada untuk mencukupkan kebahagiaan? Pun soalan yang sama berlegar ketika melihat paman kaya sibuk membasuh mobil tinggi hitam metalik.

Ketika menuliskan beberapa persoalan ini, aku sendiri sedang mempersiapkan jawapan bagi pertanyaan-pertanyaan ini :  hari ku tak istimewa hingga matari yang terbit merekah pada senda guraumu yang petang.

10/09/2013

buat si gadis

dia gadis yang berantakan
hitam pahit hidup celaka buat dia
ditinggal dikutip dicampak tendang
meragut hilang seorang gadis diperlu bunda

gadis,
aku tahu kau dihenyak berat
beban
segala lorong gelap kau jejak
seluruh bilik malap kau selak
meneguk titis titis air neraka jahanam.

gadis
aku tahu tidak terbeban aku seperti kamu
cuma gadis,
bundamu menyulam tangis
sadis sejak ditinggalkan hanya kamu dia
dan titis darah bergumpalan.
apa lagi mahu kau laung pada dunia supaya
tertengok pada liuk letuk gerak kamu.

gadis kau menerobos silam
terus dihunggah suram
dipanggil kau bebas
segala itu terbang
kau mendabik dada
menepuk nepuk bangga
atas segala yang dipeluk cium kamu.

cumanya gadis,
dipeluk bangga kamu itu bukan syurga
itu senjata yang kau sendiri mainkan buat meluka
semua disisi yang engkau prejudis pada benci
lihat sudah penuh sungai merah itu dek limpah
sakit bunda.

gadis berhentilah sayang
sejauh mana kau pergi
hati kamu itu milik DIA penuh curiga
atas dosa-dosa penuh tertebar
kau masih gadis dipunya bunda
kembalilah.




08/09/2013

Manusia Bertopeng

Dan mereka, terusan bersama lipat lipat pura bertindih
Depan belakang yang tak serupa
Di carik hias sama palsu bicara.

Dan mereka, terusan bersama rasa narsis meraja ruah
Tiap bait disusun nista
Melukis robek-robek dusta

Sampaikan bila mahu
Terusan mengatas tinggi diri
Di awan jauh meninggal
Tapak tapak lumpur
Dihenyak kaki
Dipuji keji sama semua ditunjal tunjal
Percaya rasa
Hilang mati peribadi ditinggal
Iri mendakap sampai nanti
Sampai mati.

05/09/2013

Untitled 2

seseorang telah berbisik,
"tak ada yang semanis ciuman pertama."

aku menjawab,
"ciuman terakhir yang akan tinggal selamanya."

seseorang mengaduh,
"tak mampu, lelah, biarlah berlalu"

aku menjawab,
"di mana pun kamu terjatuh,
sebuah cinta akan memungutmu,
dan kamu akan bangun di atas
luka-luka yang diseka cinta."

bangkitlah mengikut angin datang,
ia akan membawamu tiba ke pelabuhan.

03/09/2013

Gebang Lewat Sore

Hai,
kalian.

Salam,
kalian.

Sudah penat bicara geram,
masih hangat marah semalam,
benar kalian,
realiti, tika detik menganjak ke detik tepat 12,
harga minyak petrol RON 95 dan diesel rasmi naik!

20 sen sahaja,
20 sen seliter, 
kita kan rakyat marhaen sudah maju, canggih,
indeks pendapatan isi rumah ranum,
mewah dengan ringgit,
apa sekadar dua kupang naik jangan bising,
motokar kita hybrid,
buat apa gusar.
Bukan harga naik, 
subsidi yang ditarik.
Jangan gusar kalian!

Sudah lah, 
penat, nanti bulan depan tarif elektrik pula naik,
harga tepung naik, harga telur naik.
Semua naik,
kalian geram sekarang, 
bulan mendatang lupa sudah. 
Isu kan bertukar ganti,
baru variasi topik kita gebang sore,
tiap hari.

Hampir terlupa,
aku pulang dulu kalian.
Orang rumah pesan beli banyak gandum gula minyak,
buat bekal, niaga kuih.
Dia lupa aku ni kayuh basikal,
mana larat beli stok bergudang.
Pergi dulu kalian,
20 sen sahaja...
Esok lusa kalih jua.

Ah, singgah kedai nanti mahu beli minyak,
rantai basikal tua ni berkeriuk gaya mahu relai tiga.
Minyak pelincir belum naik.
Lega!