(i)
Masih samakah rasa ini?
Satalah yang tinggal cuman guyur guyur airmata.
Masih samakah derita ini?
Bilamana yang ada cuman degup benci melihat kamu.
Dan aku kira
Kita berdua masih lagi bingung
Diantara mahu begini
Atau melupakan cinta yang tlah kita cipta
Diantara mahu begini
Atau melupakan momen momen kita
Sewaktu kita berdua berpegangan tangan
Di tengah kota raya.
(ii)
Aku
masih perempuan ampuh
Hati aku
seolahnya semakin hari semakin rapuh
Cinta aku
Kau biar seperti aku ini pendosa
Atas kelahiran saorang anak gantung
Yang tidak tahu apa apa.
(iii)
Terbang tinggi, sayang
Patah hati ini akan aku baiki di tanah seberang
Bersama onggok kesal yang tiada mahu sudah.
Aku sudah kehabisan cara
Berpura seperti kehilangan kamu itu
Cuman hal enteng
Berpura seolah kamu itu
Tidak sengaja menyakiti aku.
(iv)
Cinta kita
Adalah definisi tepat bagi barangkali
Kemungkinan yang Tuhan uji
Limit limit dosa
Yang membuat aku merenteh laju
Menyela hati antara kita berdua.
(v)
Ambil kenangan kita
Simpan dan lipat kemas dalam kocek kamu
Ambil hati kamu ini
Kasi ia pada yang lebih layak.
Karna antara kita tiada lagi roman cinta
Tiada lagi lintasan Venus
Diantara tangen tangen
Yang kamu pernah gariskan dulu.
Dan tidak sekali
Aku mampu menahan detak jantung ini
Degup degup benci
Tabrakan sial
Melihat gunungan dendam buat kamu.
(vi)
Kota bingit dan mobil putih.
Bisa saja aku dentum kamu laju
Biar mati dan pergi.
Bisa saja aku dentum kamu laju
Biar mati dan pergi sama memori memori basi.
Ambil dia, Tuhan
Paling kurang, buang.
Karna dia adalah langsaian dosa
Yang Kamu mahu aku habiskan
Karna dia adalah langsaian dosa
Yang Kamu mahu aku lupakan.
(vii)
Nanti aku akan kembali
Sama rekod lagu dengdangan kamu
Cuman waktu itu
Tidak akan ada lagi puisi sebal
Dalam mengenang guyur hujan.
Tidak akan ada lagi perempuan
Yang patah hati menulis puisi
Tentang rindu yang dibiarkan.
(viii)
Aku akan benar hilang
Jauh dari pandangan kamu.
Karna tiada cara lain
Yang lebih baik
Selain melepaskan kamu pergi
Dan aku ini mengundur diri.
(ix)
Sementara itu
Ini kesepuluh jari aku
semuga kamu maafkan bebanan
yang aku tumpangkan
Diatas bahu kamu untuk satu tahun ini.
berbahagialah kamu
Laki laki kegemaran aku
hingga nanti kamu melupakan kita
Dan aku sudah bisa
Melewati wajah kamu dengan rasa
Rasa yang tiada.
(x)
Sehingga Tuhan
Mempertemukan kita lagi.
Mungkin kali itu
Aku dengan wajah
Yang kamu rindu.
Dan kamu dengan wajah
Yang aku perlu.