27/04/2016

Pada suatu hari di tepi laut,

Pada suatu hari di tepi laut,

1. 
Bagaimana harus kusapa buih yang ada-tidak di anak ombak?
Bagaimana harus kutafsirkan,
  suara burung-burung jantan yang singgah di gigisenja,
  sekadar untuk menambah sedikit makna bagi secebis suasana,

Bagaimana dapat kulukiskan bayang-bayang yang masuk ke dalam matamu, lalu terbias menjadi cahaya,
Bagaimana dapat kusampaikan pengakuan ini: bahwa senja yang memerah ini pun tak dapat kuciptakan untukmu sebuah puisi.

Saksikanlah, bahawa aku telah menjadi Rumi di antara debu-debu ombak


Tapi aku kehilangan metafora
Bahkan aku telah kehilangan Tuhan.


2. 
Sudikah kau bertompok dalam diriku, cahayaku, sebagai pelangi yang tersebar dari setitis hujan dalam jantungku.
Sebagai laskar embun  yang bergema bersama-sama azan subuh.
Sebagai bau hujan yang akan meretakkan kemarau agung dalam dadaku?

---

/Dan pada suatu hari di tepi laut itu,

3. 
Engkau duduk di sebelahku,
bercerita tentang kisahmu yang sedih di hari semalam.
Tapi aku sahabat baikmu hari ini.
Malah telah aku jatuh cinta padamu selama-lamanya.
Maka selayaknya sahabat baik -- akan kucintaimu serahsia-rahsianya
Bererti tak akan membiarkan lagi kau bersedih di hari esok, 
biarpun hanya mengenang-ngenang.

4. 
Betapa tidak ramai orang yang benar-benar memerhatikan cara burung terbang, dan cara ombak berinteraksi dengan manusia.  Apakah bulan dan senja / pantai dan pokok kelapa hanya akan berbicara dengan orang-orang yang dilamun cinta?

Tapi alamku semuanya tertumpu dalam jiwamu.  Kepada jiwamu lah aku selalu berbicara.

--


Cahayaku, 

5. 
Bagaimana dapat ku katakan ini: bahawa aku telah jatuh cinta kepada jiwamu
Bahawa cintaku api berahi yang penuh gemuruh
Bahawa dadaku umpama rak buku yang terlalu penuh,
umpama katedral desa keributan denting loceng
Bahawa aku ingin memiliki senyumanmu selama-lamanya.