Barangkali kita bertemu hanya untuk berterima kasih. Lalu berlalu pergi.
Jangan kenal denganku. Aku tidak ingin menyimpan rindu. Saudari tak akan jadi perempuan yang akan kutulis berpuluh-puluh puisi dalam diam, untuk akhirnya terkubur di bawah tilam.
Jangan kenal denganku. Jangan senyum padaku, Lili.
Meski secara rahsia, kutahu;
Sepotong kek merah dan garfu dengan corak bunga yang aneh
Dan senyumanmu jadi hadiah yang terbang kemana-mana
Seperti sekuntum rama-rama yang pulang ke halaman keluarganya
Membawa perkhabaran tentang bunga yang mekar
Dari pusara seberang
Aku bukan menyimpan perasaan padamu secara sembarangan
Bukan juga buat rama-rama itu, meski bunga akan selalu membawaku kepada wajahmu
Aku seperti dipandu kereta rindu yang laju!
Lili, bukankah keupayaan mengingat itu indah?
2. Kenanglah, pagi itu bajumu basah
Ada hujan tumpah singgah
Kerana kau seperti biasa
Merelakan tiap tetamu yang datang
Untuk akhirnya mereka pulang
Dengan warna bahagia
(tapi merah jambu dari pelangi itu tak ada setelah hujanku!)
3. Bunyi gitar di sudut itu, Lili
Sangat hampir dengan tempat kau/kita duduk
Tapi senyumanmu
Adalah sastera
Yang lebih janggal dari segala bahasa
Lili,
Engkau seperti toko
Yang menjual kebahagiaan
Pada setiap yang menumpang lalu!