21/09/2015

Bunga Tidur Terakhir

Selamat berpejam, kekasih.
Mimpikan aku dengan khusyuk,
Pada segenap zikir yang kau ratib sebaik jaga.
Pada semekar doa yang kau peluk tika lena.

Di daerah yang jauh,
Aku duduk bersimpuh; membicarakan kau.
Tanpa bulan dan matahari,
Bunga tidurku berselimut nyeri.
Di antara hening sepi, lugu senyum manismu menuntaskan segala sendu.

Ada keping-keping rindu dan kecewa,
Sedang berdebat di dalam hati.
Satu keping, merindukan kau.
Satu keping lagi menyuruh tabah;
Atas sebuah kepergian dan kehilangan.

Lalu bunga tidurku berbisik tegas kepada rindu dan kecewa;
Lupakan segala yang tidak layak, tidak sepatutnya diperjuangkan.

Pagi ini, rindu dan kecewa
Menemui bunga tidur gugur dan layu.
Mati.



19/09/2015

Dunia Tidak Berhenti Dengan Pemergianmu

Dunia tidak berhenti dengan pemergianmu.
Hujan masih membasahi rumput,
matahari terik mengeringkan baju.
Begitu juga aku.

Bahagia pernah menghuni kita
anak kecil polos tiada curiga
tanpa perlu berfikir panjang
makna cinta dan kasih sayang

Mana mungkin dapat diramal
ribut melanda pada malam
bulan penuh sinar bintang
lalu merenggut sisa percaya terakhir

Tiada lagi hangat aroma nugget,
Tiada lagi cerita pukul empat,
Tiada lagi penantian dua pagi,
Tiada lagi ketawa menyah sunyi.

Dingin tertinggal di hati kita
air mata terhenti di kelopak
irama musik sudah sumbang
rindu telahpun ditelan Barbara

Dunia tidak berakhir dengan pemergianmu.
Senja masih berlabuh,
subuh tetap menyamankan.
Begitu juga aku.

15/09/2015

Mesyuarat Rakyat

Menjadi kepala negeri bererti
memilih untuk mengauli risiko
atau menjadi sebahagian darinya,
terpulang dengan cara anda memanggilnya.
Sesuatu yang jatuh harus diangkat
lalu dikembalikan ke tempatnya
agar tak sesiapa yang datang
membawanya pulang sebagai hak persendirian.
Ringgit misalnya.

Kita tentu tidak berjalan terus
jika wang di saku terjatuh di jalan,
melainkan tanpa kesedaran.
Itu pun setelah tiba ke rumah
kita tetap menyelongkar setiap penjuru
kerana ada sesuatu yang hilang.
Kita tak belajar untuk pasrah
sebelum terlebih dahulu mencuba dan berusaha.

Menjadi kepala negeri bererti
harus tahu maknanya bila
kata-kata diluncurkan
apatah lagi jika ia dipanggil sebagai janji.
Janji yang tak dipertahankan
adalah pelaburan kami yang sia-sia,
harapan yang akhirnya harus kami dibubarkan.
Kalau boleh kami tak ingin mengecam,
kerana sikap itu memungkinkan dosa-dosa
yang tak terlihat dalam sedar.
Misalnya amarah yang menciptakan bangsat sebagai kata,
bukan bahasa, malah bukan bangsa.


Tidur malam kami selalu tak cukup lena
kerana mengenang rezeki
yang tak mencukupi siang tadi.
Kami belajar untuk tidak mengimpikan
lebih dari sekadar kecukupan,
kami belajar bahawa kemewahan
adalah ancaman kepada tidur malam yang aman,
kerana rumah yang dilengkapi CCTV
bahkan dengan jendela berjeriji,
tetap saja diintip pencuri.

Kami takut suatu hari nanti
anggota kejiranan ini akhirnya menangkap pencuri,
rupa-rupanya anak tetangga kami pula!
Merayu bahawa wang sekolah anaknya
tak kecukupan lagi.
Barangkali selamanya kami
tak akan merasa suasana berada
tapi cukuplah andai segalanya terpelihara
dan tidur malam tetap aman,
agar kami bangun di waktu pagi
dengan tubuh yang telah cukup rehat
untuk kembali mencari rezeki
dan sesuap nasi.


Karl Agan
Ogos 2015

13/09/2015

Definisi

i
Perempuan itu,
ibarat warna-warna pelangi yang indah,
namun berbeza cerita dari setiap satunya.

ii
Perempuan itu,
ibarat sang rembulan yang menyinar,
hilang pada siangnya, tapi tetap dinanti untuk jelma semula.

iii
Perempuan itu,
ibarat rintik-rintik hujan yang menitis,
adakalanya disambut ceria, adakalanya mengundang duka.

iv
Perempuan itu,
ibarat ombak yang memukul pantai,
lama kelamaan bisa terkesankan sesuatu.

v
Perempuan itu,
ibarat bayu laut yang berpuput lembut,
kedatangannya bisa mendamaikan hati.

**
Perempuan itu,
sukar untuk ditafsirkan,
berbeza dari setiap satunya,
ada yang dilihat sempurna, ada yang dilihat hina.
Namun ciptaan Tuhan ini sangat mulia,
--dan aku percaya.

11/09/2015

Hantaran

Sekampit cinta, sesikat rasa.
Seruang tanah berpakej baja,
Sebelas sisir di atas par,
Diiring dua membawa dulang,
Aneh genap berganjil tidak,
Satu dipayung diiring teduh,
Dua harung merempuh tubuh,
Satu cungap mengucap tuduh,
Dua rengkung memintal sabung,
Lintar palu memukul ampuh,
Getir ruh angkuh,
Ruh masih sombong,
Dia masih nafi-khayal;
"Aku makhluk agung, masa layak dilanyak begini!"

Gelintaran riak menyalut waras-waras nan berbaki; mati.