15/09/2015

Mesyuarat Rakyat

Menjadi kepala negeri bererti
memilih untuk mengauli risiko
atau menjadi sebahagian darinya,
terpulang dengan cara anda memanggilnya.
Sesuatu yang jatuh harus diangkat
lalu dikembalikan ke tempatnya
agar tak sesiapa yang datang
membawanya pulang sebagai hak persendirian.
Ringgit misalnya.

Kita tentu tidak berjalan terus
jika wang di saku terjatuh di jalan,
melainkan tanpa kesedaran.
Itu pun setelah tiba ke rumah
kita tetap menyelongkar setiap penjuru
kerana ada sesuatu yang hilang.
Kita tak belajar untuk pasrah
sebelum terlebih dahulu mencuba dan berusaha.

Menjadi kepala negeri bererti
harus tahu maknanya bila
kata-kata diluncurkan
apatah lagi jika ia dipanggil sebagai janji.
Janji yang tak dipertahankan
adalah pelaburan kami yang sia-sia,
harapan yang akhirnya harus kami dibubarkan.
Kalau boleh kami tak ingin mengecam,
kerana sikap itu memungkinkan dosa-dosa
yang tak terlihat dalam sedar.
Misalnya amarah yang menciptakan bangsat sebagai kata,
bukan bahasa, malah bukan bangsa.


Tidur malam kami selalu tak cukup lena
kerana mengenang rezeki
yang tak mencukupi siang tadi.
Kami belajar untuk tidak mengimpikan
lebih dari sekadar kecukupan,
kami belajar bahawa kemewahan
adalah ancaman kepada tidur malam yang aman,
kerana rumah yang dilengkapi CCTV
bahkan dengan jendela berjeriji,
tetap saja diintip pencuri.

Kami takut suatu hari nanti
anggota kejiranan ini akhirnya menangkap pencuri,
rupa-rupanya anak tetangga kami pula!
Merayu bahawa wang sekolah anaknya
tak kecukupan lagi.
Barangkali selamanya kami
tak akan merasa suasana berada
tapi cukuplah andai segalanya terpelihara
dan tidur malam tetap aman,
agar kami bangun di waktu pagi
dengan tubuh yang telah cukup rehat
untuk kembali mencari rezeki
dan sesuap nasi.


Karl Agan
Ogos 2015

No comments: