Showing posts with label puisi. Show all posts
Showing posts with label puisi. Show all posts

19/09/2015

Dunia Tidak Berhenti Dengan Pemergianmu

Dunia tidak berhenti dengan pemergianmu.
Hujan masih membasahi rumput,
matahari terik mengeringkan baju.
Begitu juga aku.

Bahagia pernah menghuni kita
anak kecil polos tiada curiga
tanpa perlu berfikir panjang
makna cinta dan kasih sayang

Mana mungkin dapat diramal
ribut melanda pada malam
bulan penuh sinar bintang
lalu merenggut sisa percaya terakhir

Tiada lagi hangat aroma nugget,
Tiada lagi cerita pukul empat,
Tiada lagi penantian dua pagi,
Tiada lagi ketawa menyah sunyi.

Dingin tertinggal di hati kita
air mata terhenti di kelopak
irama musik sudah sumbang
rindu telahpun ditelan Barbara

Dunia tidak berakhir dengan pemergianmu.
Senja masih berlabuh,
subuh tetap menyamankan.
Begitu juga aku.

03/07/2015

Tangisan di Kota Sunyi

kusisip kopi dingin berperisa karamel yang menjadi kegemaran sejak kebelakangan ini. buku-buku berselerakan di atas meja kupandang sepi. otak yang senantiasa bekerja keras makin bercelaru memikir perihal tuhan yang tiada hujungnya. timbunan kitab mempamer jelas, sebanyak mana telah dibaca, masih cetek ilmu dan pemahaman aku tentang tuhan.

aduh tuhan, aku tidak mahu digelar sesat untuk kali keduanya. cukup empat tahun lepas menjadi sejarah hitam yang membuat aku menjauhimu dan ilmumu kerna tidak mahu tersalah faham atas kurniamu di usiaku yang muda dan mentah. lalu kubiar hati dibawa arus bersama pemahaman yang tidak kutahu hujung pangkalnya, cuma mengikut kerana tidak mahu digelar orang asing.

tuhan, 1462 telah kusiakan.

dakwat pena telah kering. amalan lepas makin kabur. dosa semalam terbentang luas. rintih ngiang kedengaran. zikir-gita berkumandang jelas.

... dalam kepekatan malam saat semua dibuai lena.

19/06/2015

Sang Pemimpi

Untuk sekian kalinya, mimpi itu kegemaran baru aku
Aku masih  mahu pejam mata
Untuk mimpi paling lama

Aku mahu jadi sang pemimpi, kerna rindu aku pada kau cuma hidup saat lena
Dan izinkan aku pejamkan mata saat pagi mula menjengah
Ketahuilah bahwa tika saat itu aku terlalu rindu pada anak mata, pada canda bersahaja, pada senyum polos, pada segala.

Hariku mungkin sendiri dan masa buatkan aku terus berfikir
Jiwaku mengelinjang tak sabar tunggu malam
Aku mahu kita petik bintang berdua