Pada setiap kau didekatku
adalah debar jantung yang tak terhitung
membekukan kaki dan hujung jari.
Pada setiap pertemuan anak mata
adalah harapan seperti purnama
binar yang terang mengambang abadi.
Pada setiap kata-kata sederhana
adalah kotaraya dipenuhi cinta
sempurna mimpiku di dalamnya.
Percayakah bahawa
Doa-doaku hari itu telah begitu hampir kepadamu?
Kemudian dihalang Tuhan,
katanya ada doa
yang telah terlebih dahulu memelukmu.
07/06/2015
05/06/2015
Lewat Musim Semi
Air mata di musim semi
jatuh pada kelopak bunga
meresap lalu di tangkai rasa
dingin disambut belai hawa
ketika mata masih belum terbuka
Tunas di musim semi
separuh kuncup separuh mekar
dilewat unggas-unggas
separuh mabuk separuh liar
melakar detik keliru mungkin indah
Musim semi terakhir
embun melabuhkan tangis bongsu
helai kertas, debu dan tanah ingkar; kering
sayang musim-musim sekarang
terus kemarau tanpa pesan.
03/06/2015
Pohon Kenangan
Di bawah pohon samanea
kaumelabuhkan punggung
pada akar-akar tua.
Dedaun samanea yang lebat
membuatkan cahya matari senja
begitu kecewa untuk menjamah kulitmu.
Kau ambil sebilah belati dalam simpananku;
Kau ukirkan nama-nama
pada tubuh kasar samanea.
Lantas kaumengucupku di pipi
hingga lembut bibirmu
membuatku benar-benar cair.
Di bawah pohon samanea yang rendang
adalah singgahan pertama kita
;sebelum camar dan pelayar
mengenal malam.
16/02/2015
Orang-orang terakhir yang beriman.
Kucium bau lemonade di perut langit. Malam itu hujan datang
jalang, mengheret leher nabi ke anggur dadanya. Rindumu membawa seberkas ribut. Pekat
malam bertukar warna kopi. Kuhirup rasa kopi
yang berubah menjadi marikh matamu. Berahi adalah gelang-gelang Musytari, tetapi engkau, Kekasihku, adalah qasaid-qasaid Jerusalem. Maryam, aku sedang
bersungguh-sungguh di dadamu, diam dan dalam-dalam kuhidu segala rasa nikmat. Seperti
rasa sayup ketika engkau membisikkan surah Al-Imran kedalam nafasku. Kau membacakan sabda 133 sampai 134, di malam
sebegini sundal, ketika kaki langit hujan berbau lemonade, beberapa hari yang
lalu.
Aih, ada sisa pasir di hujung bibirmu (kerana kata-katamu
laut?). Bibirmu tak semerah semalam,
hari ini kau menahan lapar untuk Tuhanku. Buah-buahan di biaramu diratah ulat. Kulit tauratmu tinggal sagu. Dan aku melihat kantung susumu menjadi tua di surah Al-Rahman.
Irhamna, irhamna ya Maryam..!
(Kau mendekatkan lidahmu ke telingaku, dan kita bersatu
seperti ciuman sagu hati di depan Gibralta, Sevilla.
Layar-layar terbakar menjadi sabuk di sela kuku kita. Lalu mata kita saling bertukar pidato, lalu... eh, Sungai Gangga mengalir kemana?)
Irhamna, irhamna ya Maryam..! Hampir-hampir kafir Quran ku membaca
cintamu.
14/11/2014
Dadamu Chapel Tua
Kita bertemu dalam comptoir kata-kata,
Engkau seperti sepucuk surat dari Roma,
Aku seperti pengantar pos yang kehilangan arah
Mengapa tidak engkau tunggu dulu sehingga lilin cintaku habis membakar peta bibirmu? Lihatlah disini ada rumah bernama sendu: nanti ada orang yang membawa tanganmu dan mengajarkanmu Braille rindu-rindu dalam berahiku yang buta
Oh, seekor kupu-kupu
Entah-entah satu hari nanti kita akan ke Baitulmaqdis dan melahirkan banyak anak-anak pelangi disana. Aku rela menjadi Ali yang mewarisimu dari seorang ayah yang mulia. Rumahmu kubina dari pelupuk keringat. Dan sabtu akan datang kepada kita dengan basikal, kota-kota Palestina gemerlap dari corak matamu. Betapa aku suka membayangkan membawamu bersiar-siar ke seluruh negeri. Kita bercinta di kota Tuhan, dan kau nabi perempuanku.
Atau entah-entah suatu hari nanti kita akan bernikah di Italia. Kau memakai gaun putih dari bulu merpati. Sungai-sungai akan menjadi ais di tapak kakimu. Tidak ada kereta kahwin, tapi loceng-loceng gereja akan membawa kita kemana-mana. Cumbuilah aku, Fe, di tengah keramaian itu. Bintang ingin merakam kita menjadi satu lagi surah di dalam Zabur. Dadamu chapel tua, telah aku mati berkali-kali di salib rindumu.

Subscribe to:
Posts (Atom)