07/04/2013

Apokalips



Kornea mata merakam halus. Segala apa kelakuan dan warna yang menelusuk terus. Angin cuba damaikan keadaan sedang menghembus. Fikiran ini masih mencari resolusi di dalam benak awan cumulonimbus. Perasaan tatkala ini dipenuhi dengan kabus. Buntu untuk aku menghadam semuanya dengan tembus. Senyum yang tadinya melebar ke telinga padam tanpa perlu aku kawal akibat refleksi situasi yang menghunus. Bunga ros yang tadinya aku belikan untuk sebuah kejutan dirancang bagi kau telah terlepas spontan dari tangan yang menggenggam kemas.

Aku seluk ke poket membuka kotak merah mengambil sebatang nikotin membakar di muncung menyedut dalam-dalam dan melepaskan padu serius. Aku terduduk sambil terus mencerna asap candu yang masih berbaki di arteri pulmonalis. Tika ini hanya asap tak berbentuk itu yang setia menemani detik celaka hari ini dengan telus. Beberapa minit dicerna ia habis. Puntungnya aku jentik melayang ke arah longkang yang beralir deras. Tapi baunya memikat sensori hidung walau bermukus. Aku bangun, menoleh sekali lagi dan melangkah berjalan terus.

Laki-laki itu sobatku yang telah lama aku kenal sejak bangku sekolah lepas. Tidak aku sangka kamu berdua sedang bercanda tanpa selindung sebagai alas. Nyata peristiwa ni akan tinggal bekas dalam kronologi hidupku yang culas. Aku cuba untuk tidak balas. Kerna kamu berdua bakal menjadi kandidat tempat aku melampias buas. Mungkin aku tak mampu kawal amarah yang sedang berkelana dalam sosok entiti digelar homosapiens punya nasfu sukar dikawal bebas jika aku terusan membalas. Aku biarkan saja kamu berdua masih bernafas. Aku mungkin seorang pengalah sedang dikecamuk pelbagai rasa yang menerjah puas. Aliran oksigen dan hiroksida berkadar aliran deras. Penakut, aku sedang lemas dalam perasan yang sedang berhembus jelas. Apa aku mampu hanya melihat dari jauh dan pergi meninggalkan kalian untuk terus bermesra tanpa cemas. Sobat, kekasih aku tinggalkan kerna keduanya buatku rimas. Biarku sendiri melepaskan sesak nafas, doakan kalian kekal terus waima aku sedang berperang dengan rasa maha hebat dengan dikit rasional manusia waras.

Puiih, sial, salahkan rasa sakit dalam gumpalan darah yang bernyawa, sinis. Dalam tak sedar juga, ada cecair masin sedang menitis. Menghiris pipi yang kesat tanpa perlu dilukis. Vertikal simetri sebaris. Mungkin inilah apokalips.

1 comment:

Azhar Ibrahim said...

Coming from Api, seperti biasa; power!