Kehadapan Kekasihku, yang hanya menganggapku sekadar teman paling biasa;
Kita pernah saling melengkapi; Aku milikmu, kau milikku, aku mengasihimu, kau merinduiku
Kita pernah sama-sama berbahasa hati; aku nukilkan sajak, kau menguntai rindu.
Lalu tanpa apa-apa bicara, kau berlalu meninggalkanku, diam dan tak lagi memandang kepadaku,
Terbang, dan tak pernah lagi kembali
Melihat kau yang terlalu bersahaja tanpa ada sedikit kasihan adalah perkara yang paling memilukan. Berat hatiku untuk membuang segala kenangan yang pernah kau benih dan semaikan. Lantas akhirnya kau jualah yang meracun kenangan itu sendiri.
Kekasihku,
Barangkali aku akan terus hilang, atau mati dan kau apa peduli. Ini adalah bahasaku yang paling lembut dan berani; Terima kasih kerana telah menjawab bahasa hatiku
Dengan cara yang kukira
Paling pengecut
Maafkan andai kata-kataku telah mengguris hatimu. Dan andai kau benar-benar membenci kata-kataku, ketahuilah, bahwa kau terlebih dahulu membunuh hatiku sebelum sajak ini lahir.
Selamat abadi.
