23/05/2014

Sehelai seluar percaya telah robek

Sehelai seluar percaya
Yang menutup selindung sisa celaku
Telah robek
Digunting siat kamu
Saat aku menadah jernih titis air pipi mu
Perlahan lahan dengan kaki kiri
Kau mencapai gunting lalu merobek seluar ku
Dan mencariknya dengan jemari mu

Perlahan lahan

Sedangku masih terleka menumpang bahu buat kamu.
Sehingga aku sedar
Seluar ku terlucut
Aku telanjang dan kau berlalu
Sambil mentertawakanku
Tanpa henti
Saat sehelai seluar percaya sudah robek disiat gunting kamu

Nama

Ada satu nama yang sedari semalam
Dicuba aku padam lalu tidak mahu hilang
Nama pada dinding kekal
Diukir kemas kenangan tertusuk dalam

Ada satu nama yang sedari semalam
Tergiang ngiang berlagu di cuping hariku
Berdesing memecah gegendang harap
Pada kepulangan memecah suram.

Ada satu nama yang sedari semalam
Dibibirku tersenyum
Dimindaku terngiang
Dihatiku tertanam

Ada satu nama yang sedari semalam
Milik kamu
menghantuiku.

17/04/2014

Pungguk

Aku si pungguk yang menantikan bulan
jauh dari sudut mata
tertusuk pada zarah
terlindungkannya nampak

dekatnya terlalu sukar digapai
cerahnya terlalu terang untukku sampai

aku hanyalah si pungguk di atas dedahan
yang menantikan sebuah senyuman dari sang bulan.

06/04/2014

surat-surat

keretapi ini membawaku jauh darimu
enjinnya terjingkit-jingkit hidup
mungkin nafasnya sudah lama tua
dan umurnya telah kian semput

kerikil dan letrik membawa keretapi ke depan
perlahan-lahan keretapi mengemudi malam
seperti ia satu-satunya yang berjaga subuh itu

batu-batu tidur dan asap menyelimuti pagi
kudengar enjin keretapi masih sesak dan cemas
mungkin ia juga sedih dan sepi sepertiku- cuma tanpa puisi-puisi.

31/03/2014

surat-surat.

seperti jambak delima senyumanmu, matamu seperti kopi subuh
wajahmu adalah kenangan yang membunga di sepanjang rel dan perhentian

gerabak keretapi membawaku ke stesen seterusnya
ke Kampar, gadis jelita, tasik dan bunyi kerikil
tak sesesak beg yang penuh baju
dan kenangan yang membangun senyumanmu


(3.13)