12/10/2024

cinta-cinta yang terurai tenunannyaa dilangit,
       tercatat pada lauh yang dimakan anai-anai
 telah merubah roman penduduk bumi
  di malam-malam waktu kita menangis sendiri
            hingga ia lenyap dimakan sepi
ketaksampaian, laksana pohon yang meluruh sebelum sampai
musimnya, ia meranting
     mengitari pusingan taqdir yang takkan terputus
     
         
 

 

19/10/2018

Hizib Hujan



Engkaulah – sepasang tangan yang muncul di celah-celah kitabku.  Namamu hujan, suaramu adalah al-Syazili yang sedang bersuluk.  Aku adalah sekuntum sungai dalam hutan yang sedang kaupeluk.

Sebab namamu hujan.  Engkau akan membakar kemarau yang membanjir dalam hatiku. Maka sekiranya;
1. Semalam aku tertidur, engkau adalah terik bianglala yang membangunkanku
2. Semalam aku terduduk, engkau adalah seekor kupu-kupu yang membawa kuterbang

Tidak takutkah aku nanti, bila angin datang menghentikan gerimismu – suaramu –
Lalu tercerai ekor kupu-kupumu, atau wafat warna-warnamu?

Tidak, tidak. Insya Allah yang tidak-tidak.  Kuumpamakan al-Syazili yang terlupa, barangkali separuh fana, 
lalu karam menjadi Hizib,
     seperti itulah aku laut, 
                                          yang akan menjadi tawar untukmu.  

03/11/2017

Sirr



Engkau duduk disebelahku, hujung mata kita adalah bunyi burung-burung di lorong langit Singkawang -- kita pun bercakap-cakap tentang betapa besar makna sebuah kehidupan: apakah ia lebih besar dari Borneo, ataukah lebih merdu dari sungai yang berbunyi dalam matamu, Z?

Lalu kalkulator di hujung telingamu.

Engkau mengira baki hidup dan lebihan wang untuk menyara seluruh pengembaraan yang selalu kita cerita dalam angan-angan. Tak ada yang lebih pilu dari bunyi aiskrim pecah, atau lelehan coklat yang mengalir dalam plastik pembungkus, atau durian yang ditebak dengan tangan yang memendam lapar seharian. Dihadapan kita berlari-lari seorang gadis berambut magenta, sedozen kucing menghulur salam di buku lali, membawa pulang sisa ikan di hadapan sebuah rumah yang sedang tersenyum.

Aku ingin melihatmu. Walaupun engkau sekadar di sebelahku. Aku ingin mendaki segala pemandangan di wajahmu, dan menghidu bau laut di keningmu. Aku cinta padamu, Z, tanpa kalkulator yang mampu menduga sebesar mana kadarannya. Tak ada laboratorium yang akan mampu menyukat segala cecair yang hangat dalam jiwa kita.

15/06/2017

ز, serta sepasang telinga

1.

Bello

Kau adalah bunyi burung yang menyapa sebuah taman di waktu pagi.  Kau adalah suara sepasang tangan kekasih yang berpimpinan.  Kau adalah getar kegembiraan atas penglihatan pertama dari pesakit yang kesembuhan buta.  Senyumanmu adalah suatu keputusan yang muktamad. Kau adalah kasih sayang yang bergema setelah aku kautitip masuk ke dalam rumah hatimu.  Kau adalah hujan keindahan yang lebat.  T’lah menjadi Tabut dadaku sebab terkumpulnya begitu banyak khazanah kecantikkanmu.

Aku merasakan bahawa aku adalah lelaki yang paling kaya di mukabumi.


2.

Occhi

Lihatlah pergerakan tanganmu, lekukan bibirmu setiap kali kita melihat satu sama lain.  Kau suka melihat mataku  – aku cinta pada keterpesonaan kau pada mataku.  Tahukah kau betapa mata ini ingin menciptakan kebahagiaan yang maha besar untukmu?  Mengertikah kau betapa mata ini ingin melihat kita sama-sama dewasa dan menukang pelangi terindah setelah hari-hari hujan yang kita lalui?

3.

Orecchie

Kau menyanyikanku lagu dari bunyi-bunyi sungai.  Setiap kali setelah petir, kau menuliskanku melodi-melodi yang baru.  

4.

Senso

Kelak pasti aku akan menjadi tua dan mataku berubah buta.  Tapi dari suaramu kau memberi petanda bahawa pendengaranku akan abadi selama-lamanya.

01/05/2017

Cub & Flowers

in the morning I hear the rain
I looked out the window
and I see the pavements
're covered with water
even the roads 're wet
and the trees look live-lier than ever
I couldn’t see the sunlight
I believe it was hidden
behind the heavy cloud,
and then I think of u
your glories, your stories
your hopes
your lips, your eyes, your chest,
our travelling plan
and how I love seeing the way your teeth were arranged -- to match the sunshine in your eyes;
why wont you know?
that you’re the shy epitome of prettiness,
that one outstanding sunflower
every farm must have,
& you’re also like;
that one sentence of a song
every lovers fallen in love to

 O’, floret,
on this raining morning I must say thank you
for bringing the definition of beauty
the way I never understand it before

17/04/2017

Surat-surat

I wandered lonely as a cloud
That floats on high o'er vales and hills,
When all at once I saw a crowd,
A host, of golden daffodils;
Beside the lake, beneath the trees,
Fluttering and dancing in the breeze.

― William Wordsworth, I Wander’d Lonely as a Cloud




Melihatnya: 
Muzikmu seperti bunyi yang damai.  Seperti alir sungai yang lebih bising dalam musim hujan yang bersuara.  Kau menggelarnya sebuah ketenangan yang turun merusuh, seperti sehelai pena yang majnun menulis puisi.  

Pemandangan: 
Dan dari satu sudut, Bede BD5 menjadi perjamuan mata di hujung langit.  Kita seolah-olah berada di sepuluh abad yang lalu, ketika buku-buku mempunyai bau kulit kuda, atau ketika serenade mempunyai nilai yang sama tara denganseuncang emas.  

Engkau: 
Dari tepi jalan laluan ke café  kulihat pantulanmu di setiap yang berkaca,  kau dengan gaun merah yang baru, dan senyum yang lebih biru dari hari senja – hari-hari akan kutanyakan tentang harimu: ‘how are you today?’

Pertanyaan: 
‘Engkau mempertanyakan soalan itu kepadaku hari-hari tanpa bosan, dan aku akan selalu memberi jawapan yang sama – my day is fine as everyday.  Ini adalah jawapan hari kelmarin.  Esok juga akan kuberikan jawapan yang sama.  Apa kau tidak lelah?’

R: 
Sebenarnya aku tidak tahu cara yang lebih ikhlas untuk mencintaimu, selain bertanya khabarmu setiap hari.

03/03/2017

Surat Qaisy buat Teman Lelakinya, Zayd

Zayd,

Aku tidak pernah melihat pagi yang se-mendung pagi ini. 
Angin bertiup lembut sejak dinihari,
mengisi bolongan kosong antara bulan dan pohon-pohon malam. 
Seakan-akan bunyi rintik hujan yang belum tiba. 
Becak, seperti loceng sebuah bas dan
bau speaker dari surau di selekohan. 
Daun jatuh bagai layar sekeping kapal teduh. 
Bau laut dan hujan turun perlahan-lahan…

Tapi ada kemarau dalam hatiku!

Tahukah kau perkara yang paling sunyi ketika
musim kemarau adalah sekaki payung yang dilupakan?


Zayd,

Aku telah berkenalan dengannya di sudut sebuah perpustakaan.  Dia adalah wanita mulia.  Akan abadi sebuah petang yang kusimpan dalam ingatan, ketika dia melintas dan membahagi senyum ke dalam tiap jiwa yang sempat memasang mata menjadi sebuah taswir. Tidak ada satu rijal yang akan bisa menemukan definisi senyum itu dalam apa-apa kamus.  Tak akan dapat kucetak bunyi tapak kakinya dalam apa-apa bahasa.  Dia seperti rahmat yang mempunyai mata dan telinga, kerudung dan hidung.  Dia adalah kepala sebuah erti, dia adalah definisi yang memiliki perkataannya sendiri.

Tapi di corazón, waktu berdetak seperti Aran –  disana Kami sempat mencipta puluhan kenangan menjadi sebuah kerusi, sambil tertegun bersandar menunggu masa menjadi dewasa. 

Mungkinkah hari ini adalah hari yang kutakuti, Zayd? Ketika jejaran masa berkeputusan menjadi tua sebelum sempat dewasa – lalu memisahkan sepasang jiwa menjadi dua manusia yang serba biasa.


30/09/2016

ن.ا

1) Kelmarin kita bertemu dalam mimpi
Kau memelukku erat; luka-lukaku tak lagi mengalir
Tembok yang menjadi perantaraan persahabatan roboh
berdiri menjadi tugu cinta abadi
Kita tak lagi malu berbahasa hati;
Aku ada untukmu, kau juga begitu

2) Hari-hari yang berlalu aku membacakan bahasa hatiku
Kau menjadi tukang menyulam kenangan rindu
Katamu, ini adalah hadiah untuk dikenang pada hari-hari tua
Semoga kita tak akan berderaian di bawah langit menua
Kau berkata

3) Hari ini, pagiku tak lagi menerima kucupan darimu
Aku ingin membelaimu sekali lagi sayang
Buat kali terakhir, aku ingin sekali merasa sentuhanmu
mendengar kata-katamu, tenggelam dalam ketawamu
Atau berpimpinan  di bawah lampu-lampu pasar
seperti hari-hari yang kita pernah tempuh.

27/09/2016

Surat Buat Perempuan Yang Pernah Memiliki Hatiku

Kehadapan Kekasihku, yang hanya menganggapku sekadar teman paling biasa;
Kita pernah saling melengkapi; Aku milikmu, kau milikku, aku mengasihimu, kau merinduiku
Kita pernah sama-sama berbahasa hati; aku nukilkan sajak, kau menguntai rindu.
Lalu tanpa apa-apa bicara, kau berlalu meninggalkanku, diam dan tak lagi memandang kepadaku,
Terbang, dan tak pernah lagi kembali

Melihat kau yang terlalu bersahaja tanpa ada sedikit kasihan adalah perkara yang paling memilukan. Berat hatiku untuk membuang segala kenangan yang pernah kau benih dan semaikan. Lantas akhirnya kau jualah yang meracun kenangan itu sendiri.

Kekasihku,
Barangkali aku akan terus hilang, atau mati dan kau apa peduli. Ini adalah bahasaku yang paling lembut dan berani; Terima kasih kerana telah menjawab bahasa hatiku
Dengan cara yang kukira
Paling pengecut

Maafkan andai kata-kataku telah mengguris hatimu. Dan andai kau benar-benar membenci kata-kataku, ketahuilah, bahwa kau terlebih dahulu membunuh hatiku sebelum sajak ini lahir.

Selamat abadi.

17/07/2016

Puisi Laut Alexandria

5000 nautical miles
G Flat dalam sebuah nota Septet, mencipta jarak 5 jam
kita tertinggal pastel dan Modigliani
serta jejari Mozart di hujung sebuah piano


  ; kali ini lebih merdu dari Frans Liszt, cuba dengarkan: bunyi ombak - dan melodi tali Zither,
serta kepak kunang-kunang yang terhempas pada garis-garis yang terlalu jauh dalam laut,
mencipta hujan dan hutan

lalu dalam instrumental/ombak,
engkau menjelma
bak puluhan sahrawi yang
pulang dari bentangan
laut Alexandria, melewati bebatuan hijau
dan anak-anak pasir :: menyambut lambaian pulang matahari

O'Tuhan, kau mengilhamkan catatan
di atas cawan kertas kopi
serta sejambak senyuman merah
pada bibir terindah dalam dunia.

27/04/2016

Pada suatu hari di tepi laut,

Pada suatu hari di tepi laut,

1. 
Bagaimana harus kusapa buih yang ada-tidak di anak ombak?
Bagaimana harus kutafsirkan,
  suara burung-burung jantan yang singgah di gigisenja,
  sekadar untuk menambah sedikit makna bagi secebis suasana,

Bagaimana dapat kulukiskan bayang-bayang yang masuk ke dalam matamu, lalu terbias menjadi cahaya,
Bagaimana dapat kusampaikan pengakuan ini: bahwa senja yang memerah ini pun tak dapat kuciptakan untukmu sebuah puisi.

Saksikanlah, bahawa aku telah menjadi Rumi di antara debu-debu ombak


Tapi aku kehilangan metafora
Bahkan aku telah kehilangan Tuhan.


2. 
Sudikah kau bertompok dalam diriku, cahayaku, sebagai pelangi yang tersebar dari setitis hujan dalam jantungku.
Sebagai laskar embun  yang bergema bersama-sama azan subuh.
Sebagai bau hujan yang akan meretakkan kemarau agung dalam dadaku?

---

/Dan pada suatu hari di tepi laut itu,

3. 
Engkau duduk di sebelahku,
bercerita tentang kisahmu yang sedih di hari semalam.
Tapi aku sahabat baikmu hari ini.
Malah telah aku jatuh cinta padamu selama-lamanya.
Maka selayaknya sahabat baik -- akan kucintaimu serahsia-rahsianya
Bererti tak akan membiarkan lagi kau bersedih di hari esok, 
biarpun hanya mengenang-ngenang.

4. 
Betapa tidak ramai orang yang benar-benar memerhatikan cara burung terbang, dan cara ombak berinteraksi dengan manusia.  Apakah bulan dan senja / pantai dan pokok kelapa hanya akan berbicara dengan orang-orang yang dilamun cinta?

Tapi alamku semuanya tertumpu dalam jiwamu.  Kepada jiwamu lah aku selalu berbicara.

--


Cahayaku, 

5. 
Bagaimana dapat ku katakan ini: bahawa aku telah jatuh cinta kepada jiwamu
Bahawa cintaku api berahi yang penuh gemuruh
Bahawa dadaku umpama rak buku yang terlalu penuh,
umpama katedral desa keributan denting loceng
Bahawa aku ingin memiliki senyumanmu selama-lamanya.




22/11/2015

Perempuan Persinggahan (Tak Mungkin Aku Memilih Kamu)

Perempuan itu
Dipeluk kamu untuk singkat waktu
Dibilang cinta, dibelai mesra
Tahu-tahu dicaci dihina
Setelah kamu bertemu sang Dhia.

Begitu sahaja
Perempuan itu kau lempar
Terpekik jiwanya, hiba di hatinya.
Kau tak endah walau sedetik
Seolah hatinya tidak pernah kau jentik
Padahal sucinya telah kau usik.

Perempuan persinggahan itu
Yang cintanya kau bolot semua
Terkapai mencari kembali perawannya
Menangis di sudut katilnya
Dibayangi nafsu jijik yang kau lempiaskan
Caci hina yang kau sebarkan
Sedang kamu dan Dhia enak bercumbuan.

03/11/2015

Kita; Tidak lagi memilih pantai


Katamu kepadaku suatu hari;
Kita adalah kesementaraan, manisku.
Aku mengutip sajak-sajak Sapardi,
Lalu ku bisikkan ke daun telingamu;
Tidak sayangku, waktu hanya fana, kita adalah abadi.

Di pantai suatu senja yang sabar,
Kita berpegangan tangan menyusuri
jejak ombak yang mencumbui pasir.
Mencuri-curi peluk kerna takut dunia
mencemburi cinta kita.

Kau mengenggam erat jemariku
Lalu katamu;
Manisku, kita tidak harus lagi memilih pantai
Kerna pantai merupakan tempat terbaik
menikmati kesedihan dan mencintai kehilangan.

Dan kita; tidak (mahu) memiliki keduanya.


27/10/2015

Badi Abadi

I
                KEABADIAN
                KEABADIAN
                KEABADIAN
                KEABADIAN

II
                KEABADIAN
                KEABADIAN
                KEABADIAN
                KEABADIAN

III
                KEABADIAN
                KEABADIAN
                KEABADIAN
                KEABADI

KaAN

25/10/2015

Ketika Alam Memanggil Kenangan

Lambaian daun itu seolah-olah memanggilku;
apabila ditiup angin
pada petang yang cukup tenang
dan pelangi yang sudah mula jemu memandang.

Dedaunan kering gugur menyembah bumi;
menghempas tanah usang
pada hamparan sejarah lalu
di situ kita pernah bertemu.

Dahulu,
sewaktu petang yang masih riuh dengan becok nuri,
sewaktu pelangi yang masih teguh berdiri,
sewaktu dedaunan itu masih segar memayungi
dan kita juga yang masih melebarkan senyuman berseri.

Itu dahulu,
segalanya yang mungkin sudah berubah,
segala kasih yang ditadah
sudah tergadah.

Aku cuma mampu kenangkan
tentang seorang perempuan
dan kenangan-kenangan kita yang masih bertemankan.

Aku Menulis Namamu Dan Tuhan, Seterusnya...

Bukankah tuhan telah memberi kau pilihan
semenjak kaumenangis melihat ibu;
Lalu kaumemilih untuk terus hidup
dengan lekuk di sebelah tengkorakmu
     ;Kaumerangkak

Bukankah ibu telah memberi kau pilihan
semenjak kaumenangis melihat kekasih;
Lalu kaumemilih untuk terus hidup
dengan parut di seluruh hatimu
     ;Kauberjalan

Bukankah kekasih telah memberi kau pilihan
semenjak kaumenangis melihat temanmu dilarikan tuhan;
Lalu kaumemilih untuk mati
dalam setiap nafas-nafas harapan
     ;Kauberlari
      mengejar anak-anak nabi
      dalam setiap zikir-zikir tuhan.

21/10/2015

Kota Kelip-kelip



Kota kelip-kelip gemerlapan di lewat
dua
pasang-pasang kaki seret tuju cahaya
berdua
"Ruh lama berkati tanah ini!", bisik gempa.
Ruh-ruh lama hakikatnya, sepasang.
Kota itu bertuan,
hanya gilir penunggu.

Warisan baru berkerabat nyawa,
memakai selimpang dosa, merejam langit meludah setia.
Kota kelip-kelip makin malap.
Dua ruh sudah lama diangkat,
penunggu sudah reput tongkat.
Seretan kaki semalam, bertangguh-tangguh.

Singgahsana dunia,
lampu ayan dan kuap lentok para ratib menunggu matahari
esok, dan seterusnya…
Kota kelip-kelip ghaib tika dini tiba.

17/10/2015

Samad

Eh Samad
Cakap kau banyak dusta,
Tak terhitung dah aku rasa
Tangan kau banyak cela,
Tak ada satu pun yang aku boleh kata cara.
Jalan kau semua tak kena,
Terus-terusan menapak ke neraka dunia.

Eh Samad
Berhenti guna telinga
Sebab omelan mereka;
Tak ubah macam angsa.
Buatlah apa saja Samad,
Mereka lebih celaka
Peduli jadi berbeza.

Eh Samad
Sekali-sekala cakap dengan Tuan kita,
Kau juga mahu syurga.

-Feb 28

Aminah

15/10/2015

Pekat Malam

Suara garau kedengaran menemani rembesan malam. Sedang sibuk aku bertikam makan hati. Samar kelabu jadi igauan. Punya matahari malap raut malam. Punya bintang capai berkali angkuh meninggi berlari sudah. Masih menongkah patut aku jahit parut semalam atau kabus biar membusuk. Masih berkira bintang dilangit mahu aku tutup jendela atau biar dingin gelap menjamah badanku. Sungguh aku benci dengusan sesal hari hari. Sudah sudahnya neon terang aku tutup. Kertas ronyok makanan tong biru. Tarik selimut cipta mimpi moga esok ketemu cahaya hilang.

RynAsri

11/10/2015

Catatan dari balik awan




Dari balik kaca bujur aku termenung merentas awanan. Kepergianku untuk kali terakhir ini, seiring berakhirnya kita. Tangisku kering, hatiku mati. Barangkali hidupku terusan begini tanpa kamu. Langit cerah bertukar tona senja, dan malam mulai menjelma. Langit berubah, hari berganti dan kamu, memilih untuk pergi. Bulan malam itu bertentang mata denganku, barangkali cuba menenangkan, atau seperti hari-hari yang lain cuma menjadi teman. Bintang malam itu hilang kerdipnya, barangkali malu, atau sendu meraikan aku. Dan dari beribu kaki tinggi ini aku renung laut biru. Perlahan-lahan, cebisan hati kamu aku jatuhkan, mengharap ia mampu tiba ke dasar. Seperti tahun-tahun hubungan kita, jarak kita sengaja aku panjangkan, bicara kita sengaja aku diamkan, pintu hati sengaja aku tutupkan. Jangan-jangan, itu yang aku perlu, untuk tidak lagi hidup denganmu. Langit masih gelap saat aku menutup mataku melupakan kamu, dan barangkali terusan gelap saat terjagaku.