kalian.
Salam,
kalian.
Sudah penat bicara geram,
masih hangat marah semalam,
benar kalian,
realiti, tika detik menganjak ke detik tepat 12,
harga minyak petrol RON 95 dan diesel rasmi naik!
20 sen sahaja,
20 sen seliter,
kita kan rakyat marhaen sudah maju, canggih,
indeks pendapatan isi rumah ranum,
mewah dengan ringgit,
apa sekadar dua kupang naik jangan bising,
motokar kita hybrid,
buat apa gusar.
Bukan harga naik,
subsidi yang ditarik.
Jangan gusar kalian!
Sudah lah,
penat, nanti bulan depan tarif elektrik pula naik,
harga tepung naik, harga telur naik.
Semua naik,
kalian geram sekarang,
bulan mendatang lupa sudah.
Isu kan bertukar ganti,
baru variasi topik kita gebang sore,
tiap hari.
Hampir terlupa,
aku pulang dulu kalian.
Orang rumah pesan beli banyak gandum gula minyak,
buat bekal, niaga kuih.
Dia lupa aku ni kayuh basikal,
mana larat beli stok bergudang.
Pergi dulu kalian,
20 sen sahaja...
Esok lusa kalih jua.
Ah, singgah kedai nanti mahu beli minyak,
rantai basikal tua ni berkeriuk gaya mahu relai tiga.
Minyak pelincir belum naik.
Lega!
No comments:
Post a Comment